GEORGE TOWN: Polis menahan seorang lelaki dipercayai meragut beg tangan seorang wanita warga asing di Jalan Pintal Tali, di sini semalam yang kejadiannya tular menerusi media sosial.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata kejadian berlaku kira-kira 4.50 petang ketika mangsa berusia 40 tahun sedang berjalan bersendirian.

“Mangsa didatangi motosikal dari arah belakang sebelum penunggangnya meragut beg tangannya.

“Mangsa membuat laporan berhubung kejadian pada 9.35 malam tadi dengan memaklumkan kerugian wang tunai RM1,000 dan satu telefon pintar, namun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bertindak atas laporan itu, polis berjaya menahan lelaki berusia 24 tahun pada 1 tengah hari tadi dan merampas sebuah motosikal yang dipercayai digunakan ketika kejadian serta topi keledar selain menemukan wang tunai RM1,000 serta telefon milik mangsa.

Terdahulu tular menerusi media sosial video berdurasi 37 saat memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal bertindak meragut beg tangan milik seorang wanita dan insiden tersebut turut dirakam kamera papan pemuka sebuah kereta.

Abdul Rozak berkata lelaki itu akan direman esok untuk siasatan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun.