KUALA PILAH: Sebuah syarikat pengilang beras bersama dua pengarah syarikat terbabit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan perihal dagangan palsu pada kampit beras di sebuah pasar raya di Bahau tahun lepas.

Syarikat Serba Wangi Sdn Bhd, diwakili Orang Kena Saman (OKS) Lim Hooi Chung, 50, dan Low Kok Cheng, 53, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu didapati telah membekalkan beras menggunakan suatu perihal dagangan palsu “Super Import” pada 13 kampit beras jenama Jati Padi Gold, iaitu berkaitan jenis beras dengan kedua-dua OKS ketika melakukan kesalahan itu merupakan pengarah syarikat.

Bagi pertuduhan kedua, syarikat terbabit didapati membekalkan beras menggunakan suatu perihal dagangan palsu “kandungan hancur lima peratus” pada 13 kampit beras jenama yang sama, berkaitan kandungan dan kedua-dua OKS ketika itu sebagai pengarah syarikat.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah pasar raya di Bahau, kira-kira 1.20 tengah hari pada 10 Okt 2023.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 dan dibaca bersama Seksyen 6(1)(a) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 5(1)(B) akta serupa. Sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 bagi setiap pengarah dan sebutan semula kes pada 2 Jan 2025 manakala perbicaraan pada 17 dan 18 Mac tahun depan.

Pendakwaan kendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Mohd Sophian Zakaria dan Nor Alimah Mohd Sanusi manakala OKS diwakili peguam Terence Naidu dan Benjamin Chwee.