KUALA TERENGGANU: Sebuah syarikat perkakasan elektrik rugi RM40,580.83 selepas wang hasil jualan dilarikan bekas pekerja dalam kejadian pada September tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata menurut maklumat suspek wanita yang berusia 24 tahun itu bertugas sebagai ketua pasukan di sebuah cawangan syarikat di Gong Badak dekat Kuala Nerus sebelum diberhentikan pada 28 Feb tahun ini.
Beliau berkata suspek sepatutnya memasukkan wang hasil sebanyak RM57,378 ke akaun syarikat, namun gagal berbuat demikian.
“Setelah disoal siasat oleh pihak dalaman syarikat, suspek mengaku menyerahkan wang berkenaan kepada ibunya untuk disimpan sementara. Bagaimanapun, wang itu didakwa telah hilang di Besut.
“Tindakan berkenaan melanggar peraturan syarikat yang mewajibkan pekerja memasukkan wang hasil jualan selewat-lewatnya tiga hari dan melarang membawa wang tunai syarikat keluar dari daerah Kuala Terengganu,“ katanya ketika dihubungi hari ini.
Azli berkata suspek yang menyedari perbuatannya terbongkar berjanji membuat bayaran balik kepada syarikat bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.
Bagaimanapun, hingga 28 Feb pihak syarikat hanya menerima bayaran balik sebanyak RM16,797.16.
“Pihak syarikat membuat laporan pada 27 Mac kerana mengesyaki suspek telah menyalah guna wang syarikat sehingga menyebabkan kerugian lebih RM40,000.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan Pertuduhan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan tidak melebihi 14 tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan,“ katanya.