KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengemukakan 18 alasan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dengan dua sebatan serta denda RM10 juta kerana bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Menerusi petisyen rayuan yang difailkan hari ini, Syed Saddiq antara lain mendakwa bagi pertuduhan pertama iaitu bersubahat melakukan pecah amanah, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid terkhilaf apabila menyamakan pengeluaran dengan perbelanjaan.
Syed Saddiq mendakwa keputusan kes prima facie telah dibuktikan terhadapnya dalam pertuduhan kedua iaitu menyalahgunakan harta adalah bertentangan dengan dapatan bahawa wang RM120,000 sememangnya milik atau untuk kegunaan beliau sendiri.
“Oleh itu, hakim terkhilaf dalam memutuskan bahawa terdapat kes prima facie terhadap saya di bawah pertuduhan kedua apabila beliau mengambil kira fakta-fakta yang tidak relevan dan terkhilaf kerana bergantung pada keterangan dengar cakap,” katanya.
Bekas Ketua Armada itu berkata akibat kesilapan tersebut, hakim berkenaan turut terkhilaf apabila memutuskan bahawa terdapat kes prima facie bagi pertuduhan ketiga dan keempat kerana kedua-duanya adalah berasaskan pertuduhan kedua.
Syed Saddiq juga mendakwa alasan penghakiman yang diberikan kira-kira 13 bulan selepas keputusan pada 9 Nov 2023 telah memprejudiskan beliau.
“Hakim tidak mempertimbang kesemua keterangan seperti yang dikehendaki oleh undang-undang, melanggari Seksyen 182A Kanun Tatacara Jenayah dan tiada penilaian yang adil serta saksama terhadap kes pembelaan berkenaan dengan kesemua empat pertuduhan.
“Sekiranya hakim mempertimbang kesemua keterangan, hakim akan mendapati bahawa saya telah membangkitkan suatu keraguan yang munasabah berkenaan dengan kesemua empat pertuduhan,” katanya.
Justeru itu, bekas Menteri Belia dan Sukan berkenaan berkata beliau telah dinafikan perbicaraan yang adil kerana banyak kesilapan yang boleh dirayu telah dilakukan oleh hakim.
“Oleh itu, saya mohon agar sabitan dan hukuman diketepikan dan saya dibebaskan serta dilepaskan. Hukuman yang telah dijatuhkan adalah melampau dan tidak mengikut prinsip-prinsip hukuman yang boleh diterima,” katanya.
Mahkamah Rayuan menetapkan 19 dan 20 Mac tahun depan untuk mendengar rayuan Syed Saddiq terhadap sabitan dan hukuman bagi empat pertuduhan terbabit yang difailkan pada 9 Nov 2023.
Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali, yang diamanahkan dana berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan ia di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.
Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Bekas Presiden MUDA itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Bagi kesalahan itu, dia dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai atau hasil aktiviti haram.