KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud berada di ibu negara dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di sini.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar sehingga boleh menimbulkan pelbagai spekulasi.

Razarudin berkata laporan polis yang tersebar dan mendakwa Abdul Taib telah dibawa keluar dari sebuah hospital adalah laporan yang sahih manakala siasatan dijalankan di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan bukan atas insiden dilarikan tetapi menjurus kepada perbuatan yang mungkin boleh membahayakan kesihatan beliau.

“Kertas siasatan telah dihantar ke Pejabat Pendakwaan Negeri Sarawak semalam dan masih menunggu arahan lanjut.

“Tiada istilah dilarikan kerana yang membawa keluar dan balik ke rumah adalah isteri bekas TYT (Tuan Yang Terutama) berkenaan,” katanya kepada Bernama malam ini.

Pada Isnin lepas, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata mengesahkan telah menerima laporan berhubung isu tular iaitu kes membawa keluar Abdul Taib dari sebuah hospital swasta di Kuching, Sarawak. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image