KUALA LUMPUR: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa insiden tanah jerlus telah menggunakan pelbagai kaedah, termasuk melakukan ujian melepaskan botol dari lurang kumbahan berdekatan lokasi kejadian, di Jalan Masjid India di sini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata hasil ujian itu mendapati, objek berkenaan mengambil masa kira-kira empat jam untuk sampai ke titik terakhir di loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam.

“Kalau mengikut aliran air, (laluan) sepanjang 5.3 hingga 6 kilometer dari lokasi kejadian tanah jerlus hingga ke loji IWK Pantai Dalam,” katanya selepas meninjau operasi SAR dan melawat keluarga mangsa di Jalan Masjid India di sini, hari ini.

Razarudin berkata lebih 115 anggota pasukan SAR terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), IWK, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), terlibat dalam operasi yang masuk hari kelima hari ini.

Beliau berkata pasukan SAR turut menggunakan teknologi kamera di lurang kumbahan bagi mengesan mangsa.

“Pada hari ini juga Agensi Nuklear Malaysia dan Jabatan Mineral dan Geosains turut hadir melakukan pemantauan di lokasi kejadian, termasuk melakukan imbasan,” katanya.

Razarudin turut memaklumkan orang ramai tidak perlu khuatir dengan keadaan keselamatan di lokasi berhampiran kejadian dan jangan terpengaruh dengan maklumat di media sosial yang mendakwa kawasan Masjid India tidak selamat.

Pada Jumaat, seorang wanita Vijayaletchumi, 48, dari Andhra Pradesh, dilaporkan hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan tanah jelus, ketika berjalan kaki di kawasan itu untuk ke kuil berhampiran.

Operasi SAR yang diaktifkan pada hari sama, antara lain telah menggunakan teknik flushing, jetter dan alat pengesan bawah tanah atau Radar Pengesan Bawah Tanah (GPR) untuk mencari mangsa, namun setakat ini masih belum menemukan wanita itu.