• 2025-07-02 01:42 PM

PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengingatkan pembayar cukai bahawa tarikh akhir pengemukaan Borang Nyata (BN) Tahun Taksiran 2024 secara e-Filing bagi mereka yang menjalankan perniagaan adalah pada 15 Julai ini.

Kategori pembayar cukai yang terlibat termasuk individu pemastautin yang menjalankan perniagaan, pekerja berpengetahuan, berkepakaran, dan bukan warganegara yang memegang jawatan utama. Selain itu, individu bukan pemastautin, pertubuhan, harta pusaka, dan keluarga sekutu Hindu juga perlu mematuhi tarikh ini.

LHDN menegaskan bahawa pengemukaan borang boleh dilakukan melalui portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my atau melalui laman rasmi LHDN di https://www.hasil.gov.my. Pembayar cukai juga boleh memuat turun borang berkaitan di pautan rasmi LHDN.

“Pembayar cukai dinasihatkan untuk memastikan semua maklumat peribadi dan butiran akaun bank dikemas kini serta lengkap semasa pengemukaan BN. Langkah ini penting bagi memudahkan proses bayaran balik cukai jika berkenaan,“ menurut kenyataan LHDN.

LHDN turut mengingatkan bahawa kegagalan mematuhi tarikh akhir boleh mengakibatkan penalti, kenaikan cukai, atau tindakan perundangan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.