PUTRAJAYA: Sebanyak 3,950 pengambilan meliputi 3,200 pegawai perubatan, 350 pegawai pergigian dan 400 pegawai farmasi akan dibuat menerusi pelantikan secara kontrak (interim), kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

KKM memaklumkan baki calon yang memenuhi syarat lantikan mengikut skim perkhidmatan akan dijadikan sebagai calon simpanan.

KKM berkata iklan pengambilan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) itu yang dibuka 18 Julai lepas sehingga 31 Julai ini adalah selari dengan keputusan kerajaan berhubung pelantikan secara kontrak (interim) mulai 1 Feb lepas hingga suatu kaedah lantikan tetap yang baharu diperkenalkan.

KKM memaklumkan tawaran itu terbuka kepada calon yang telah dilantik secara kontrak mengikut Surat Pekeliling Ketua Setiausaha KKM Bilangan 4 Tahun 2016 sama ada sedang berkhidmat atau tidak lagi berkhidmat di KKM.

“Pegawai perubatan, pergigian dan farmasi yang dilantik secara kontrak (interim) ini berpeluang untuk dilantik secara tetap tertakluk kepada prestasi dan perakuan Ketua Jabatan,“ kata kenyataan KKM di sini hari ini.

KKM memaklumkan perincian kategori calon yang layak memohon ialah calon sedang berkhidmat di KKM; calon telah berkhidmat hingga tempoh maksimum kontrak tujuh tahun bagi pegawai perubatan dan maksimum lima tahun bagi pegawai pergigian dan pegawai farmasi.

Kategori lain termasuk calon yang telah ditamatkan perkhidmatan bukan disebabkan kesalahan tatatertib; calon telah menolak tawaran penyambungan kontrak baharu; calon telah menolak tawaran pelantikan tetap dan calon yang telah meletak jawatan.

KKM memaklumkan calon yang memohon mestilah telah menamatkan latihan siswazah atau khidmat wajib serta mempunyai perakuan pendaftaran penuh.

Calon yang berminat dan layak disarankan untuk membuat permohonan menerusi portal SPA9 iaitu https://spa9.spa.gov.my dan mengisi semua maklumat yang diperlukan dengan lengkap dan betul sebelum atau pada tarikh tutup iklan.