ALOR SETAR: Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) menahan 12 pendatang tanpa izin warga Myanmar yang cuba menyusup masuk ke negara ini di sempadan negara dekat Kubang Pasu pagi semalam.
Menurut kenyataan 2 Divisyen hari ini, pasukan yang melaksanakan rondaan mengesan pergerakan dua individu dipercayai tonto membawa seramai pendatang asing itu memasuki kawasan sempadan Malaysia pada 4.45 pagi.
“Sewaktu diserbu, pasukan beroperasi berjaya menahan seramai 11 pendatang asing manakala dua tonto dan seorang lagi pendatang asing melarikan diri. Bagaimanapun, pendatang asing yang melarikan diri itu ditahan semula pada 9.40 pagi hari yang sama,“ menurut kenyataan berkenaan.
Hasil pemeriksaan mendapati kesemua yang ditahan terdiri warga Myanmar berumur antara 15 hingga 45 tahun dan dipercayai melintas sempadan Malaysia–Thailand pada kira-kira 1 pagi.
Turut dirampas wang tunai berjumlah RM270, mata wang Myanmar sebanyak 727,500 kyat (RM1,758), mata wang Thailand berjumlah 2,820 baht (RM 363), 13 unit telefon bimbit dan dua motosikal jenis Honda RSX 150 dan Honda Wave 110.
“Anggaran nilai barang rampasan keseluruhan berjumlah RM17,431. Kesemua yang ditahan diserahkan ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.