KOTA BHARU: Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan 17 ekor lembu bernilai RM85,000 di sempadan Malaysia-Thailand semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan memaklumkan kejadian di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd) itu diperoleh menerusi maklumat perisikan.

“Pasukan beroperasi berjaya mengesan tiga orang awam melaksanakan aktiviti penyeludupan lembu di tebing Sungai Golok berdekatan sempadan Malaysia-Thailand.

“Sewaktu diserbu, ketiga-tiga mereka berjaya melarikan diri dengan menyeberangi Sungai Golok ke arah Thailand dan meninggalkan 17 ekor lembu di sempadan sebelah Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Nibong, Tanah Merah, manakala haiwan rampasan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Rantau Panjang.”

“Kes penyeludupan ini disiasat oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya,“ katanya.