SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan penguatkuasaan lebih agresif kepada pemegang lesen perniagaan berkaitan larangan penggunaan beg plastik sekali guna, polistirena serta penyedut minuman.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri Arul Kumar berkata ini berikutan tempoh kempen dan kesedaran yang panjang telah dilaksanakan sejak 5 Okt 2022, sudah mencukupi.

Beliau berkata tindakan tersebut termasuk mengeluarkan kompaun serta merta kepada pihak yang melanggar syarat lesen dan pembatalan lesen perniagaan oleh PBT.

“Penguatkuasaan ini termasuk kepada penjaja dan peniaga pasar malam. Larangan penggunaan beg plastik sekali guna dikeluarkan sejak lama, malah setiap PBT diarahkan untuk mengadakan kempen dan memasukkan larangan ini dalam syarat lesen perniagaan.

“Mereka hanya boleh membekalkan beg plastik biodegradasi dan mudah terurai atau beg jenis kain, kertas atau jaring, dan tiada caj boleh dikenakan kepada pelanggan ke atas penyediaan beg plastik ini, jika dicaj, pengguna boleh membuat aduan kepada PBT untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau semakan pematuhan larangan penggunaan beg plastik sekali guna, di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Arul berkata justeru semua peniaga yang berlesen perlu melaksanakan arahan tersebut serta merta, memandangkan anggota penguat kuasa PBT telah mula melaksanakan penguatkuasaan secara lebih agresif dan menyeluruh.

Beliau berkata sepanjang penguatkuasaan sejak 2022, 1,152 Notis Peringatan dikeluarkan di seluruh negeri, manakala 14 kompaun dikeluarkan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) bagi tempoh Jun hingga Julai.

Semua PBT telah menjalankan kempen kesedaran dan pemakluman yang jelas melalui hebahan di media sosial, bunting, papan iklan dan kaedah lain yang bersesuaian sejak 1 Okt 2022 hingga 30 April 2023.

Selain itu, tarikh kuat kuasa larangan penggunaan beg plastik sekali guna, polistirena dan penyedut minuman atas permintaan di setiap PBT seluruh Negeri Sembilan dilaksanakan bermula 1 Mei 2023 dan MBS 1 April 2022.