JOHOR BAHRU: Teknologi bukan suatu ancaman atau elemen berisiko yang memusnahkan dan ia memerlukan komitmen bersama untuk memastikan penggunaannya membawa kebaikan.
Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) Mohamad Fauzi Ishak berkata perkembangan pantas teknologi jika digarap secara bijak mampu mendatangkan manfaat besar kepada pembangunan negara.
Justeru, Mohamad Fauzi berpandangan tema sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika” relevan dengan cabaran industri media pada masa ini yang menghadapi ledakan teknologi kecerdasan buatan (AI) sekali gus menuntut penyampaian maklumat sahih.
“Namun sepantas mana kita untuk mendalami, hadam, mempelajari dan mengejar setiap segmen perkembangan kemajuan teknologi itu, ia yang akan menentukan kesediaan kita untuk melakar kejayaan lebih besar pada masa depan,“ katanya kepada Bernama.
Mengenai HAWANA yang disambut sejak 2018, Mohamad Fauzi yang juga Presiden Kelab Media Johor (KMJ) berkata ia berjaya menterjemahkan penyatuan dalam kalangan pengamal media tanah air, sekali gus menonjolkan nilai perpaduan dan semangat kebersamaan yang amat penting dalam industri berkenaan.
Beliau berkata HAWANA bukan sekadar sambutan, tetapi juga mencerminkan penghargaan menyeluruh daripada kerajaan dan rakyat terhadap sumbangan besar dunia kewartawanan dalam mengangkat martabat serta pembangunan negara.
“Hal ini menunjukkan profesion kewartawanan suatu bidang yang penting, bukan sekadar penyebar maklumat, tetapi juga wacana membentuk pemikiran masyarakat,” katanya.
Sambutan HAWANA 2025 yang berlangsung selama tiga hari hingga Ahad dimulakan hari ini dengan Karnival HAWANA di ruang legar Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur bermula 10 pagi hingga 10 malam.
Esok, sambutan HAWANA 2025 diteruskan dengan penganjuran Forum HAWANA 2025 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bermula 9 pagi, diikuti majlis kemuncak sambutan yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Merdeka, WTCKL.
Lebih 1,000 pengamal media, wakil-wakil persatuan wartawan tempatan dan wakil media dari negara anggota ASEAN dijemput sekali gus menghimpunkan kumpulan media profesional dan pakar industri sambil bertukar-tukar idea serta menjalinkan hubungan strategik.
Sambutan HAWANA dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) selaku agensi pelaksana.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bertujuan meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium untuk membentuk minda masyarakat bermaklumat.