KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini yang mendengar kes pengubahan wang haram dan rasuah membabitkan bekas Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan diberitahu terdapat kemasukan wang RM38,160 ke akaun Maybank milik Sinar Karangkraf Sdn Bhd, dua tahun lepas.

Pegawai Maybank Cawangan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) Ahmad Arabbi Mustafa, 36, berkata merujuk kepada penyata akaun Malayan Banking Berhad atas nama Sinar Karangkraf Sdn Bhd, kemasukan itu adalah menerusi transaksi secara dalam talian pada 3 Nov 2022.

“Saya sahkan akaun semasa Maybank atas nama Sinar Karangkraf Sdn Bhd telah dibuka pada 24 Jan 2007 di cawangan TTDI.

“Berdasarkan spesimen tandatangan bagi akaun ini, penandatangan yang dibenarkan adalah seramai lima orang,” kata saksi pendakwaan ke-12 itu semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Shahrom Idris.

Ditanya peguam Amer Hamzah Arshad, yang mewakili Wan Saiful, Ahmad Arabbi bersetuju bahawa transaksi itu adalah sah.

Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Dr Ifa Sirrhu Samsudin iaitu bagaimana beliau tahu transaksi itu adalah sah, Ahmad Arabbi menjawab “Sistem akan trigger jika ada transaksi-transaksi yang mencurigakan”.

Wan Saiful, 49, berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta dengan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu, antaranya bagi pembelian kenderaan jenis Ford Ranger serta pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia, dan memindahkannya ke beberapa akaun syarikat termasuk milik Sinar Karangkraf Sdn Bhd.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini antara 12 Ogos dan 13 Nov 2022 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau juga berdepan pertuduhan meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada kerajaan Malaysia, secara prakelayakan bernilai RM232 juta.

Beliau turut didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd, daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan SST bagi projek terbabit.

Wan Saiful didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku antara 8 Julai hingga 30 Sept 2022.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung esok.