KUALA TERENGGANU: Dua pegawai kanan sebuah agensi penguatkuasaan direman lima hari bagi membantu siasatan kerana disyaki menerima rasuah RM30,000 bagi membantu membebaskan tiga orang lelaki yang ditahan berkaitan kes dadah, tiga tahun lepas.

Turut direman empat hari ialah isteri kepada salah seorang suspek atas kesalahan sama.

Reman ke atas kesemua suspek yang berumur lingkungan 36 hingga 41 tahun itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Yuhanis Mohd Roslan selepas membenarkan permohonan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Menurut sumber kedua-dua pegawai kanan itu akan ditempatkan di lokap SPRM Terengganu manakala suspek wanita pula ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM.

Semalam SPRM Terengganu menahan tiga suspek berkenaan ketika hadir memberi keterangan di pejabat suruhanjaya itu.

Kedua-dua pegawai kanan yang ketika itu bertugas di sebuah daerah di negeri ini disyaki meminta dan menerima rasuah bernilai RM30,000 pada 2021 daripada seorang lelaki sebagai balasan melepaskan rakannya yang ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.