PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mahupun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak pernah memberikan kelulusan kepada sebuah platform pembaharuan insurans secara dalam talian BJAK Sdn. Bhd. (BJAK) untuk menjalankan perkhidmatan urus niaga pembaharuan cukai jalan.

JPJ dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memandang serius kandungan iklan yang dikeluarkan melalui laman sesawang bjak.my dan media sosial BJAK berhubung perkhidmatan urus niaga pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan secara dalam talian yang ditawarkan kepada orang awam termasuklah program pemberian cukai jalan secara percuma.

JPJ memaklumkan bahawa terdapat kenyataan yang telah dipaparkan oleh pihak BJAK melalui laman sesawang mereka iaitu “Pembaharuan roadtax secara dalam talian di BJAK telah diaudit, disah dan diluluskan oleh JPJ” adalah tidak benar dan mengelirukan orang awam.

“Jabatan ini juga telah menerima beberapa aduan daripada orang awam antaranya pembaharuan cukai jalan telah dilaksanakan melalui laman sesawang BJAK, namun tempoh sah laku cukai jalan tidak dikemas kini,” menurut kenyatan itu.

Jabatan itu turut menjelaskan dan menegaskan bahawa tiada integrasi sistem di antara Sistem JPJ (MySIKAP) dengan sistem yang digunakan oleh pihak BJAK.

Dalam masa yang sama, JPJ memakumlan pihaknya juga telah menerima aduan ketidakpuasan hati orang awam yang perlu membayar caj tambahan ketika memperbaharui cukai jalan dikenakan oleh platform itu.

“Jabatan ini ingin menegaskan bahawa pihak MOT atau JPJ tidak pernah meluluskan sebarang caj tambahan yang pada masa ini dikenakan oleh BJAK kepada pelanggan mereka.

“JPJ ingin menggalakkan urus niaga memperbaharui cukai jalan adalah melalui kaunter JPJ, kios JPJ, kaunter bergerak JPJ Mobile, Aplikasi MyJPJ, portal awam JPJ dan platform rakan niaga JPJ (Pos Malaysia, MyEG dan PUSPAKOM) sahaja,” katanya.

Menurut JPJ pengoperasian yang dilakukan oleh BJAK berkaitan urus niaga pembaharuan cukai jalan adalah tanpa kebenaran jabatan itu .

Justeru, orang ramai dinasihatkan berhati-hati dengan mana-mana platform yang menawarkan perkhidmatan memperbaharui cukai jalan yang tidak sah bagi mengelakkan penipuan dan kerugian, selain merujuk atau menghubungi pihak JPJ terlebih dahulu untuk maklumat lanjut.

“Jabatan ini sentiasa berusaha dan komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang awam terutamanya pelanggan JPJ sentiasa terpelihara,” katanya.

Sebarang aduan rasmi boleh disalurkan kepada JPJ menerusi Portal Aduan Rasmi JPJ https://jpj.spab.gov.my/.