KUALA LUMPUR: Tiada kes baharu cacar monyet atau monkeypox (Mpox) yang dikesan setakat hari ini selepas kes terakhir dilaporkan pada 16 Sept lepas, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata keputusan itu dicapai selepas Kementerian Kesihatan (KKM) menyaring 22.8 juta pelancong di pintu masuk negara.

“Setakat ini yang kita tahu, tiada kes baharu dan kes sikit dahulu hanya satu,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Perak Perkhidmatan Transplan Sel Stem/Sumsum Tulang KKM di Hospital Ampang, di sini hari ini.

Pada 16 Sept lepas, KKM mengesahkan satu kes positif cacar monyet dalam varian clade II dikesan, menjadikan semua 10 kes sejak 26 Julai 2023.

Virus Mpox clade I dikategorikan sebagai mudah berjangkit dan mempunyai kadar kematian 10 peratus, manakala clade II mempunyai kadar kematian lebih rendah.