KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata Malaysia menjangka tiada perubahan besar dalam industri cip selepas pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) pada 5 Nov 2024.

“Malah, semasa perubahan daripada (Donald) Trump kepada (Joe) Biden, kami tidak menyaksikan perubahan besar dalam sektor ini untuk Malaysia, untuk syarikat Malaysia dan syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Malaysia.

“Saya tidak melihat perubahan itu (akan) berlaku jika terdapat perubahan dasar dalam pentadbiran AS yang baharu,” katanya kepada Bloomberg TV hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Malaysia menjangka industri semikonduktor akan terjejas oleh pilihan raya presiden AS.

Persaingan untuk merebut jawatan tertinggi itu adalah antara bekas Presiden Donald Trump, 78, yang juga calon Republikan dan Naib Presiden AS Kamala Harris, mewakili parti Demokrat.

Trump telah dipilih sebagai Presiden ke-45 pada 8 Nov 2016 selepas jutawan itu menewaskan calon Demokrat, Hillary Clinton.

Biden mengesahkan sokongannya terhadap pencalonan Harris, 59, untuk jawatan tersebut selepas menarik diri daripada persaingan itu pada 21 Julai.

Mengenai keputusan AS untuk meningkatkan sekatan terhadap pengeluar cip China, Tengku Zafrul berkata setakat ini, Malaysia tidak terjejas dan Putrajaya akan terus berunding dengan China dan Washington.

“Malaysia adalah sebuah ekonomi yang amat terbuka. Kami adalah pihak yang terlibat dalam pemeteraian banyak FTA (perjanjian perdagangan bebas) pelbagai hala dan dua hala dengan pelbagai negara di seluruh dunia.

“Oleh itu, perkara utama ialah terus berunding (dengan mereka). Setakat ini, kami belum melihat sebarang tarif dikenakan ke atas syarikat yang berpangkalan di Malaysia dalam sektor cip atau semikonduktor,” katanya.

Tengku Zafrul menegaskan bahawa Malaysia telah mendapat banyak manfaat daripada perang teknologi dan berjaya menarik pelaburan yang besar apabila syarikat menyusun semula dan merancang semula rantaian bekalan mereka.

“Malaysia telah menjadi penerima manfaat bersih dan telah berada dalam industri ini selama lebih 50 tahun. Kami telah membina ekosistem yang kukuh dalam industri semikonduktor, merupakan aspek utama dalam eksport kami.

“Syarikat Malaysia dan syarikat antarabangsa di Malaysia menyaksikan hasil yang lebih baik daripada penjajaran semula itu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya cabaran utama global yang dihadapi industri semikonduktor yang berkembang pesat, termasuk Malaysia, ialah kumpulan bakat.

“Kami telah bekerjasama rapat dengan industri. Kami mempunyai program pembelajaran berasaskan kerja dalam industri apabila industri dan sektor pendidikan bekerjasama untuk meningkatkan kemahiran dan melatih semula serta mendapatkan pekerjaan tetap dengan syarikat tersebut.

“Apa yang penting ialah kita melatih semula individu mengikut keperluan industri,” katanya.

Dalam usaha menarik pelaburan secara berterusan, katanya Malaysia cuba menarik syarikat untuk melabur dalam lima sektor utama, iaitu, ekonomi digital; kimia dan petrokimia; penjagaan kesihatan, terutamanya peranti perubatan; industri farmaseutikal dan aeroangkasa.

Tengku Zafrul kini berada di Hong Kong untuk acara Invest Malaysia-HK Bursa Malaysia, Sidang Kemuncak Jalur & Laluan dan SCMP HK-Sidang Kemuncak ASEAN.