• 2025-06-29 08:29 PM

KUALA BERANG: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan tiada rakyat Malaysia yang direkrut dalam rangkaian militan berkaitan warga Bangladesh seperti yang didedahkan sebelum ini.

Menurut beliau, siasatan Pasukan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati kumpulan tersebut hanya melibatkan warga Bangladesh yang membawa fahaman pelampau berasaskan ideologi Islamic State (IS).

“Setakat ini, aktiviti ini hanya berkaitan dengan motif keganasan untuk menjatuhkan kerajaan di negara asal mereka, iaitu Bangladesh.

“Kita perlu maklumkan kepada rakyat bahawa pasukan keselamatan sentiasa bersiap siaga. Kegagalan membendung aktiviti ini boleh ancam keselamatan negara,” katanya selepas melancarkan Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu hari ini.

Baru-baru ini, Saifuddin mendedahkan PDRM berjaya menumpaskan rangkaian militan warga asing dengan menahan 36 warga Bangladesh yang disyaki terlibat dalam gerakan radikal. Operasi itu dilaksanakan dalam tiga fasa di Selangor dan Johor bermula 24 April lalu.

Perkukuh Pusat Respons Scam Kebangsaan

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) akan diperkukuhkan tidak lama lagi dengan PDRM sebagai peneraju utama.

“Sebelum ini, NSRC dikawal selia oleh empat agensi termasuk MCMC dan Bank Negara, tetapi operasinya kurang kemas.

“Kini, polis akan menerima aduan terus, maklumkan kepada bank untuk bekukan akaun mangsa, dan usahakan pemulangan wang secepat mungkin,” jelasnya.

Beliau turut mengumumkan talian hotline NSRC 997 akan beroperasi 24 jam dengan penambahan petugas bagi memudahkan mangsa membuat aduan pada bila-bila masa.

Cadangan pengukuhan ini telah mendapat kelulusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan akan dilaksanakan tidak lama lagi.