KUALA LUMPUR: Tiada cadangan untuk memperluas perkhidmatan tren elektrik (ETS) ke pantai timur buat masa ini, menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau menjelaskan bahawa kawasan tersebut masih menggunakan landasan tunggal dan tidak mempunyai kemudahan landasan elektrik.
“Pantai timur hanya sesuai untuk Diesel Multiple Unit (DMU) kerana landasan KTMB di situ adalah single track dan tidak electrified.”
“Namun, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan dilaksanakan,“ katanya dalam sidang media selepas Majlis Memperkenalkan Bas Diesel Baharu.
Loke menegaskan bahawa perkhidmatan ETS akan kekal beroperasi di pantai barat, merangkumi laluan dari Padang Besar, Perlis hingga ke Johor Bahru.
Beliau turut menyentuh mengenai prestasi KTMB, yang masih perlu dipertingkatkan dalam aspek perkhidmatan komuter, ETS, dan kargo.
“Operasi KTMB belum mencapai tahap keuntungan penuh, tetapi sebagai GLC, tanggungjawab sosial untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat tetap menjadi keutamaan,“ jelasnya. – Bernama