• 2025-07-16 03:55 PM

KUALA LUMPUR: Tiga beregu campuran Malaysia menunjukkan prestasi memberangsangkan pada hari pertama Terbuka Jepun 2025 dengan mara ke pusingan kedua di Gimnasium Metropolitan, Tokyo.

Gandingan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mengatasi pasangan Thailand, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat, dalam dua set mudah 21-15, 21-10. Pasangan keenam dunia itu akan berdepan gandingan Denmark, Mads Vestergaard-Christine Busch, pada pusingan kedua.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut menunjukkan aksi mantap dengan menewaskan Kevin Lee-Josephine Wu dari Kanada 21-15, 21-19. Sementara itu, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin terpaksa berhempas pulas sebelum menundukkan Presley Smith-Jennie Gain dari Amerika Syarikat 21-19, 12-21, 21-16. Mereka bakal berdepan cabaran lebih besar apabila berhadapan dengan pilihan kedua China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.

Malangnya, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien gagal melepasi halangan pertama selepas tewas kepada Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara dari Jepun 21-9, 21-8. - Bernama