IPOH: Tiga lelaki didakwa menembak rakan mereka hingga maut selepas tersilap menyangka mangsa sebagai haiwan buruan di Batu Caves, Selangor.
Mereka kemudian membawa pulang dan meninggalkan mayat mangsa berusia 43 tahun di Kampung Selamat, Semanggol dekat Bagan Serai awal pagi semalam.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian menerima panggilan orang awam pada 3.55 pagi mengenai mayat mangsa.
“Pemeriksaan awal mendapati terdapat tiga kesan di bahagian belakang badan mangsa disyaki akibat terkena tembakan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Hisam berkata bedah siasat akan dijalankan di Hospital Taiping esok untuk menentukan punca kematian.
Polis menahan dua lelaki berusia 32 dan 33 tahun di Kampung Selamat, Semanggol pada 12.30 tengah hari semalam.
Seorang daripada suspek mempunyai pertalian saudara dengan mangsa manakala suspek ketiga berusia 36 tahun ditahan di Batu Caves pukul 8.30 malam hari sama.
Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 8 malam Ahad lepas apabila mangsa disangkakan haiwan buruan semasa aktiviti memburu.
“Selepas kejadian, mereka sepakat membawa mangsa ke Semanggol menggunakan sebuah kenderaan dengan diiringi dua kenderaan lain,“ kata Noor Hisam.
“Mangsa ditinggalkan di tepi jalan tidak berturap untuk mencipta cerita lain daripada kejadian sebenar.”
Polis merampas tiga kenderaan jenis Toyota Vellfire, Mazda dan Toyota Hilux serta dua laras senapang buatan sendiri.
Rampasan lain termasuk 11 butir peluru 12 Bore dan empat telefon bimbit untuk siasatan lanjut.
Ketiga-tiga suspek direman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Polis masih giat mengesan seorang lagi suspek dipercayai turut terlibat dalam kejadian tersebut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kerian ASP Ambri Mat Nayan di talian 012-5306567. – Bernama