KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pihak polis untuk menyiasat perbuatan tidak sensitif pelawak Jocelyn Chia yang memperlekeh Malaysia serta mempersenda tragedi kehilangan pesawat MH370.

Ahmad Zahid berkata hasil siasatan kedua-dua agensi berkenaan kemudian akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diambil tindakan selanjutnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung Umno 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Terdahulu tular di media sosial satu klip video yang memaparkan seorang pelawak wanita dari Singapura memperlekeh Malaysia dalam satu persembahan komediri bertajuk ‘Singapore vs Malaysia’ yang diadakan di New York, Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Sementara itu, Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia akan membuat laporan polis berhubung perkara itu petang ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi. - Bernama