• 2025-07-30 08:15 PM

KOTA BHARU: Seorang pemandu treler terselamat tanpa kecederaan selepas kenderaannya terbabas ke dalam gaung sedalam 20 meter di Jalan Gua Musang-Kuala Betis, dekat Gua Musang, hari ini.

Menurut Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Penyelamat Gua Musang Nor Azizi Che Noh, kejadian berlaku pada jam 2.44 petang melibatkan Wan Mohamad Irwan Wan Noor Ahmad, 32, dari Gua Musang.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi, kami mengesahkan treler tanpa muatan itu hilang kawalan dan terbabas ke kawasan hutan. Mangsa berjaya menyelamatkan diri dalam keadaan selamat,“ katanya.

Siasatan awal mendapati treler tersebut dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Betis untuk mengambil muatan balak ketika kejadian.

Nor Azizi menjelaskan, treler itu hilang kawalan selepas menuruni bukit setinggi 20 meter sebelum memasuki laluan bertentangan dan terbalik ke gaung.

“Mangsa bernasib baik kerana treler tersangkut di longkang tepi jalan, mengelakkan ia terjunam lebih dalam. Orang awam menghubungi bomba kerana mangsa kelihatan terkejut dan tidak memberi respon,“ jelasnya. - Bernama