ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dikatakan terkejut dengan tindakan Israel membom Syria serta menyerang sebuah gereja Katolik di Gaza, sehingga memaksa beliau menghubungi Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu bagi mendapatkan penjelasan.
Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt, mengesahkan bahawa Trump tidak menjangkakan kedua-dua insiden itu. “Presiden tidak menjangkakan pengeboman di Syria dan juga serangan ke atas gereja Katolik di Gaza. Dalam kedua-dua kejadian, beliau segera menghubungi perdana menteri bagi menangani situasi itu,“ katanya.
Serangan Israel di Syria berlaku pada 16 Julai, mensasarkan kawasan berhampiran istana presiden, markas tentera, dan Kementerian Pertahanan negara itu. Sementara itu, serangan ke atas Gereja Holy Family di Gaza mengakibatkan tiga kematian dan 10 kecederaan, termasuk seorang paderi.
Menurut laporan Axios, tindakan Israel di Syria mencetuskan keraguan dalam pentadbiran Trump terhadap Netanyahu. Ada pandangan bahawa dasar Israel di Timur Tengah semakin mengancam kestabilan.
Leavitt turut menyatakan kebimbangan Trump mengenai konflik Gaza yang “berlarutan terlalu lama” dan menjadi lebih ganas. “Presiden tidak suka melihat keadaan seperti itu. Beliau mahu pertumpahan darah ini dihentikan, mahu gencatan senjata, dan semua tawanan dibebaskan,“ jelasnya.
Sejak Mac lalu, Israel melaksanakan sekatan ketat ke atas Gaza, menghalang bekalan makanan, ubat-ubatan, dan bantuan kemanusiaan. Agensi bantuan antarabangsa memberi amaran tentang risiko kebuluran yang semakin serius.
Walaupun mendapat tekanan global, Israel terus melancarkan serangan ke atas Gaza sejak Oktober 2023, mengorbankan lebih 59,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. - Bernama-Anadolu