WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu mengumumkan larangan perjalanan baharu terhadap warganegara dari 12 negara, dengan alasan ancaman keselamatan negara.
Menurut laporan Anadolu Ajansi (AA), arahan itu dikeluarkan menerusi pengisytiharan presiden dan kenyataan video dan akan dikuat kuasa pada 12.01 pagi (Waktu Timur AS) Isnin ini.
Larangan itu merangkumi pelancong dari Afghanistan, Myanmar, Chad, Republik Congo, Equatorial Guinea, Eritrea, Haiti, Iran, Libya, Somalia, Sudan dan Yaman.
Selain itu, tujuh lagi negara iaitu Burundi, Cuba, Laos, Sierra Leone, Togo, Turkmenistan dan Venezuela akan berdepan sekatan separa.
Trump berkata langkah itu diambil susulan serangan terbaru di Boulder, Colorado, ketika satu perarakan diadakan bagi menyokong tawanan Israel di Gaza.
Beliau berkata insiden itu menyerlahkan ancaman yang wujud daripada warga asing yang gagal disaring dengan baik atau yang terus menetap di AS melebihi tempoh visa.
“Kita tidak boleh menerima kemasukan dari mana-mana negara jika kita tidak dapat menyaring mereka dengan selamat dan teliti,” katanya.
Trump juga menyatakan tahap sekatan bergantung kepada tahap ancaman, dan senarai negara yang terlibat boleh berubah bergantung kepada perkembangan semasa.
“Kita tidak akan benarkan sesiapa yang berniat jahat untuk memasuki negara kita,” katanya.