KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pertukaran Panji-Panji 71 Rejimen Semboyan DiRaja Pemerintahan Medan Barat (71 RSDPMB) di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.

Istiadat perbarisan yang melibatkan 4 Detasmen terdiri daripada 23 pegawai dan 336 anggota lain-lain pangkat itu turut dihadiri Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi kenyataan memaklumkan pemilihan tarikh hari ini berdasarkan tarikh penubuhan pasukan iaitu pada 7 Julai 1981, menyaksikan pasukan berkenaan kini genap 43 tahun.

“Istiadat ini merupakan tanda penghormatan dan penghargaan terhadap kesetiaan, kebaktian dan pengorbanan dalam mempertahankan kedaulatan raja dan negara.

“Fungsi dan identiti panji-panji juga sebagai lambang, simbol kemegahan dan keunggulan sesuatu unit bagi mengekalkan semangat juang, keberanian, keazaman, kegigihan serta daya tahan mental dan fizikal pasukan terutamanya di medan tempur,“ menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu Tuanku Muhriz selaku Kolonel Yang Dipertua Rejimen Semboyan Diraja menzahirkan perasaan amat berbangga dengan prestasi cemerlang rejimen itu dan menaruh sepenuh kepercayaan bahawa tahap kecemerlangan itu akan dikekalkan.

“Ikrar yang dilafazkan hendaklah dipenuhi bagi memastikan Malaysia sentiasa terpelihara daripada sebarang ancaman. Peranan setiap anggota penting dalam menyokong agenda pembinaan negara dan bangsa serta (sentiasa) bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan yang mendatang,“ titah baginda.

Menurut TDM, Panji-Panji Rejimen itu dianugerahkan pada 5 Jun 2004 di Dataran Merdeka di sini bersempena dengan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong ke-12 Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Ia menjadikan Panji-Panji Rejimen itu berusia 20 tahun dengan Armed Forces Council Federations (AFCI) 1960 menyatakan pertukaran panji-panji boleh dibuat setelah berusia 15 tahun.

“Kelulusan pertukaran Panji-Panji 71 RSDPMB telah dipersetujui Lembaga Pemeriksaan yang diketuai Wakil Sel Rejimental Cawangan Sumber Manusia Markas Tentera Darat,“ menurut kenyataan itu.

Open Two Websites with Image

Clickable Image