KUALA TERENGGANU: Kesemua 34 ketulan tulang yang ditemui di Pantai Batu Buruk 2 di sini malam tadi, disahkan bukan tulang manusia.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata ia hasil pemeriksaan dan bedah siasat oleh pakar forensik Unit Patalogi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang dijalankan selama dua jam bermula 9 pagi tadi.
“Justifikasi dibuat berasaskan terdapat perbezaan daripada bentuk, ketebalan, panjang serta tiada kesamaan dengan mana-mana tulang rangka manusia.
“Tulang tersebut berkemungkinan tulang haiwan yang mirip kepada kuda,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Azli berkata sampel DNA tulang tersebut akan diserahkan kepada pegawai penyiasat polis untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia Terengganu bagi tujuan analisis profil.
Penduduk sekitar Kuala Terengganu semalam digemparkan dengan penemuan ketulan tulang di kawasan semak di belakang kuarters jabatan kerajaan yang tidak berpenghuni di Pantai Batu Buruk 2.