• 2025-07-06 06:22 PM

LUMUT: UMNO tidak akan bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sebaliknya kekal bersama Barisan Nasional (BN) sebagai platform perjuangan politik parti itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pendirian itu ketika berucap di Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lumut 2025.

Timbalan Perdana Menteri itu menjelaskan UMNO akan terus menggunakan lambang dacing yang sinonim dengan BN pada pilihan raya akan datang.

Beliau juga menekankan kerjasama dengan komponen BN lain seperti MIC, MCA, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), serta Pakatan Harapan (PH) tidak akan diketepikan.

“Desakan supaya UMNO bertanding secara solo bukan perkara baharu.

Ia turut disuarakan semalam ketika saya berada di Johor, sama seperti yang dilaungkan di Kedah,“ katanya.

Ahmad Zahid turut menafikan dakwaan bahawa kekalahan UMNO dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini berpunca daripada kerjasama dengan BN dan PH.

“Terdapat resolusi daripada beberapa bahagian yang seolah-olah menyalahkan kehadiran rakan-rakan gabungan dalam BN dan PH sebagai punca kekalahan kita.

Tetapi hakikatnya, UMNO tidak pernah bertanding secara bersendirian sejak ditubuhkan,“ jelasnya.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut menegaskan parti itu tidak akan bertanding secara solo pada PRU16 memandangkan sejarah UMNO sentiasa menunjukkan kerjasama politik sebagai kekuatan utama. – Bernama