IPOH: UMNO Bahagian Pasir Salak melancarkan Tabung Sumbangan Rakyat Palestin sebagai inisiatif parti itu membantu perjuangan rakyat Palestin.
Ketuanya Khairul Azwan Harun berkata tabung itu bertujuan mengutip dana bagi membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin yang menjadi mangsa kezaliman.
“Tabung ini akan bergerak ke 113 cawangan UMNO dan saya menyeru kepada semua ahli UMNO untuk menderma, dengan sasaran kutipan kelak melebihi RM10,000 buat permulaan ini,“ katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Katanya pelancaran tabung itu adalah tanda solidariti UMNO Bahagian Pasir Salak tanpa mengira kaum dan anutan agama dalam menyokong bantahan dunia terhadap kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.-Bernama