SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) bersedia menerima pelajar dari negara Guinea-Bissau, sekali gus membuka ruang kerjasama strategik dengan negara dari benua Afrika yang jarang dilihat sebagai rakan pembangunan dalam bidang pendidikan tinggi.

Naib Canselor UPM Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata universiti itu sentiasa bersedia untuk membantu rakan-rakan dari benua Afrika dan melihat lawatan Presiden Guinea-Bissau Umaro Sissoco Embaló ke kampus UPM hari ini sebagai satu peluang penting untuk menjalin hubungan dua hala yang memberi manfaat bersama.

“Alhamdulillah peluang ini dibuka. Kita merasakan UPM juga ingin membantu rakan-rakan kita di benua Afrika dan kita jarang lihat mereka sebagai tempat yang boleh kita bekerjasama untuk bantu dari segi pembangunan kapasiti,” katanya kepada Bernama dan RTM di sini hari ini.

Beliau berkata Guinea-Bissau yang merupakan negara berasaskan pertanian, sedang berusaha untuk membina semula keupayaan negara mereka menerusi sektor itu, dan ia memilih UPM sebagai rakan strategik dalam bidang pendidikan dan latihan kemahiran.

“Presiden Guinea-Bissau sendiri menyatakan hasrat untuk menghantar pelajar mereka ke UPM dalam bidang berkaitan agrobio, khususnya ke Fakulti Pertanian dan Fakulti Perubatan Veterinar kerana itu merupakan keperluan utama mereka ketika ini,” katanya.

Ahmad Farhan berkata tumpuan Guinea-Bissau ketika ini adalah kepada tahap pengajian ijazah pertama bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang boleh menggerakkan ekonomi negara tersebut.

“Biasanya negara datang untuk bincang penghantaran pelajar PhD, tetapi Guinea-Bissau masih di peringkat awal. Mereka perlukan pembangunan kapasiti di peringkat asas dahulu,” katanya.

Ditanya mengenai pelaksanaan kerjasama, Ahmad Farhan berkata ia masih dalam peringkat awal dan belum ada ketetapan rasmi.

Tardahulu Presiden Embalo yang melawat UPM diberi taklimat oleh Ahmad Farhan mengenai Pelan Keterjaminan Makanan universiti berkenaan, dan mengetengahkan strategi utama UPM dalam menangani cabaran bidang berkenaan menerusi inovasi dan teknologi bio.

Presiden Embalo kini berada di Malaysia untuk lawatan rasmi tiga hari.