• 2025-07-17 08:58 PM

KUALA LUMPUR: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) telah memeterai surat niat bagi menjalin kerjasama strategik untuk memperkukuh pembangunan sukan dan akademik, terutamanya dalam kalangan atlet serta jurulatih negara.

Majlis penandatanganan disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh sempena Program Rakan Muda Turun Kampus siri keenam 2025 di UPNM, Kem Perdana Sungai Besi.

Kerjasama ini memberi tumpuan kepada pembangunan program akademik melalui pembelajaran berasaskan kerja (WBL) bagi meningkatkan daya saing serta kebolehpasaran atlet dan jurulatih.

“Kita mahu memperkasakan lagi pelajar yang ingin bersukan dan pada masa sama bantu atlet untuk terus belajar serta membina kerjaya selepas bersara daripada arena sukan,“ kata Hannah Yeoh.

Selain itu, LoI ini turut membolehkan warga MSN, atlet, dan jurulatih berpengalaman tanpa kelayakan akademik formal melanjutkan pengajian melalui laluan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL.A).

Program Rakan Muda Turun Kampus adalah platform bagi pelajar menyampaikan aspirasi dan idea berkaitan pembangunan belia dan sukan secara terus kepada Kementerian Belia dan Sukan. - Bernama