PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan sebuah video berdurasi kira-kira empat minit yang memaparkan dua anggotanya menahan seorang penunggang motosikal sebagai kejadian terbaharu, sebaliknya mengesahkan insiden itu berlaku pada 2020.

Ketua Pengarahnya Datuk Aedy Fadly Ramli berkata tindakan tatatertib telah diambil terhadap kedua-dua anggota terbabit.

Beliau sehubungan itu menyeru orang ramai supaya tidak menyebarkan atau membuat sebarang spekulasi berkaitan video berkenaan.

“Pihak JPJ telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menghentikan penyebaran video itu dan tindakan yang sewajarnya.

“Orang ramai dinasihatkan menyemak terlebih dahulu dengan pihak JPJ bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.