IPOH: Seorang wanita dan bayi berusia tiga bulan maut manakala suaminya cedera parah selepas kereta Perodua Myvi dinaiki dipercayai bertembung dengan kereta jenis Mercedes dari arah bertentangan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat sini tengah hari tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata wanita yang meninggal dunia dikenali sebagai Nor Syahira Mohd Fadhail, 23, beralamat di Kedah manakala suaminya Amyroul Shah Huszaiery, 23, beralamat di Putrajaya.
“Kami segera mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai bagi kerja-kerja menyelamat sebaik menerima panggilan pada pukul 12.46 tengah hari,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata anggota bomba yang diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Saiful Yazan Shahril bertindak mengeluarkan Amyroul Shah yang tersepit di bahagian pemandu menggunakan peralatan khas dan operasi tamat pada pukul 2.54 petang.
Menurutnya lelaki yang memandu kereta Mercedes mengalami kecederaan ringan dan mereka yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan manakala dua yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian di Km 34 Jalan Keramat Pulai itu pada kira-kira pukul 1 tengah hari.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi yang datang dari arah Cameron Highlands sedang mengambil selekoh menuruni bukit lalu bertembung dengan kereta Mercedes Benz yang datang dari arah bertentangan.
“Keadaaan jalan di tempat kejadian adalah selekoh menuruni bukit landai, dua hala satu lorong dan garisan tengah berkembar putih. Permukaan jalan pula rata, berturap, bertar dan kering,“ katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama