• 2025-06-19 02:58 PM

KUALA LUMPUR: Seorang tukang urut wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan memuat naik hantaran video dan gambar sijil pernikahan palsu dirinya dengan seorang kerabat diraja, Februari lepas.

Pengakuan Persana Avril Sollunda, 43, direkodkan di hadapan Hakim Norma Ismail.

Wanita itu didakwa membuat dan memulakan penghantaran gambar dalam sebuah video palsu di aplikasi TikTok melalui akaun “king.charles.ratu” yang memaparkan sijil pernikahan palsu antara seorang kerabat diraja dan Crown Princess Ratu Shana dengan niat menyakiti hati orang lain pada 25 Feb.

Hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ di sini pada 10 pagi 26 Feb.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Persana Avril boleh dihukum denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Nursyuhada Husna Sulaiman menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan wanita itu tidak mengemukakan sebarang rayuan bagi mengurangkan jumlah tersebut.

Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis setiap bulan sehingga kes selesai dan menetapkan sebutan semula kes pada 17 Julai.

Pada 22 Mei, mahkamah sama mengeluarkan waran tangkap terhadap Persana Avril, selepas gagal hadir ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan itu.