TUARAN: Seorang wanita berusia 41 tahun ditemukan maut dengan kesan kecederaan parah di belakang rumah keluarganya di Kampung Tenghilan, Tamparuli. Kejadian dipercayai melibatkan abang kandungnya yang mengalami masalah mental.
Mangsa ditemukan berlumuran darah dengan kesan tetakan di leher, kepala, dan kedua-dua mata. Kecederaan itu dipercayai akibat serangan menggunakan senjata tajam. Ketua Polis Daerah Tuaran, Supt Noraidin Ag Maidin, mengesahkan suspek berusia 47 tahun telah ditahan di lokasi kejadian pada hari yang sama.
“Suspek warga tempatan dipercayai mengalami masalah mental dan pernah menjalani rawatan susulan di fasiliti kesihatan. Namun, motif kejadian masih dalam siasatan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Bedah siasat ke atas mayat mangsa telah dijalankan di Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I). Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Hotline Polis Tuaran di talian 088-794313 atau balai polis berhampiran.