KOTA KINABALU: Seorang warga emas dan cucunya ditemukan rentung dalam sebuah rumah yang hangus terbakar, dalam kejadian awal pagi hari ini di Kampung Pulau Penampang, berdekatan dengan pusat membeli belah One Borneo.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, mangsa berusia 80 tahun dan cucunya, 14 tahun masing-masing ditemukan pada jam 7.13 pagi dan 7.33 pagi.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal terbakar 90 peratus dan turut melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Axia yang terbakar lima peratus, kerana terkena bahang api,” menurut kenyataan itu.
JBPM menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.22 pagi melalui panggilan MERS, sebelum menggerakkan 20 anggota Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, dibantu BBP Lintas (sembilan anggota) dan BBP Penampang (dua anggota), ke tempat kejadian sejauh 14 kilometer.
Pasukan Bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dan enam pancutan sumber air daripada jentera serta tangki air.
Kebakaran dapat dikawal pada pukul 5.55 pagi dan kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut, sementara punca kejadian masih dalam siasatan.