• 2025-10-03 08:34 PM

LONDON: Putera William menyifatkan pengalaman kanser yang dihadapi oleh kerabat diraja baru-baru ini, selepas berdekad menikmati kesihatan yang baik, sebagai ibarat kejutan yang menggugat kestabilan atau menghilangkan keseimbangan, lapor PA Media/dpa.

Pewaris takhta British dengan gelaran Putera Wales itu berkata kerabat diraja merupakan “keluarga yang sangat bertuah” dengan usia panjang dan kesejahteraan mendiang Ratu dan Duke of Edinburgh selain pandangan yang positif membuatkan mereka mungkin berasa “ia tidak akan berlaku kepada kami”.

Namun pada awal 2024, Puteri Wales dan Raja Charles mengumumkan bahawa mereka telah disahkan menghidap kanser, sekali gus menimbulkan kebimbangan yang serius.

Kenyataan itu dibuat semasa penampilannya dalam siri travelog pelakon komedi Eugene Levy, dan beliau memberitahu selebriti itu: “Kami sangat bertuah, kami tidak mengalami banyak penyakit dalam keluarga untuk tempoh yang sangat lama.

“Kedua-dua nenda saya hidup sehingga mereka mencapai usia lewat 90-an. Jadi, mereka adalah lambang kesihatan dan kecergasan, ketabahan serta daya tahan. Oleh itu, kami amat bertuah sebagai sebuah keluarga.”

Dalam pratonton episod terbaharu siri The Reluctant Traveller bertajuk “Living The Royal Life In The UK”, William menambah: “Tetapi saya fikir, apabila anda sedar bahawa ambal metafora itu boleh ditarik pada bila-bila masa, ia merupakan kejutan yang menggugat stabiliti.

“Sebabnya, saya rasa semua orang mempunyai sikap optimis, kita perlu bersikap positif. Tetapi apabila ia benar-benar berlaku kepada anda, ia membawa anda ke situasi yang sukar.”

Pada Mac 2024, Kate mendedahkan dalam sebuah video bahawa beliau sedang menerima rawatan untuk kanser, manakala pada awal Februari diumumkan bahawa Charles juga telah disahkan menghidap penyakit itu.

Raja Charles pula sedang menerima rawatan berterusan untuk kanser yang tidak didedahkan tetapi tetap meneruskan tugas rasmi baginda di dalam dan luar negara - BERNAMA-PA MEDIA/dpa