TUARAN: Kerajaan negeri memperuntukkan RM11.6 juta kepada Yayasan Usaha Maju (YUM) tahun ini bagi meneruskan Program Kredit Mikro yang bertujuan memperkasakan usahawan tempatan, khususnya golongan wanita berpendapatan rendah.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan negeri komited membantu YUM melaksanakan peranannya dengan menyediakan dana yang mencukupi bagi membolehkan agensi itu terus beroperasi dan menawarkan perkhidmatan pinjaman kepada ahli.
“Dalam Rancangan Malaysia Ke-12, YUM turut menerima peruntukan geran sebanyak RM10 juta bagi modal pusingan pinjaman selain geran perbekalan tahunan daripada kerajaan untuk menampung sebahagian kos operasi program pinjamannya,” katanya dalam kenyataan selepas menghadiri Hari Keluarga YUM di sini hari ini.
YUM yang ditubuhkan pada 1995 adalah sebuah badan amanah negeri di bawah Kementerian Kewangan Negeri yang menyediakan perkhidmatan kredit mikro bagi membantu isi rumah termiskin keluar daripada kemiskinan melalui modal pinjaman untuk menjalankan aktiviti menjana pendapatan.
Hajiji berkata YUM telah menyalurkan pinjaman berjumlah RM805.25 juta melibatkan 152,021 unit pinjaman kepada 47,389 peminjam dengan 18,888 ahli masih mempunyai pinjaman aktif. Prestasi bayaran balik pinjaman juga amat menggalakkan dengan kadar bayaran balik kumulatif melebihi 96 peratus.
Beliau menambah, hampir 20 peratus daripada peminjam YUM yang sebelum ini berada di bawah paras garis kemiskinan berjaya memperoleh pendapatan bulanan melepasi garis berkenaan.
“Ini adalah satu pencapaian yang membanggakan dan membuktikan program pinjaman YUM mampu meningkatkan pendapatan serta membantu rakyat keluar daripada kemiskinan,” katanya.