Your Title

KEPALA BATAS: Sebuah bilik darjah di Sekolah Kebangsaan Lahar Yooi, Tasek Gelugor terbakar pagi tadi, namun kejadian tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohammad Fikhri Abdul Aziz berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.06 pagi.

“Pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tasek Gelugor yang tiba di lokasi mendapati kebakaran melibatkan bahagian dalam bilik darjah yang mengandungi peralatan seperti meja dan kerusi.

“Kebakaran disedari oleh tukang kebun sekolah yang ternampak kepulan asap. Ketika kejadian, kesemua murid sedang berada di dewan sekolah,“ katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata punca dan jumlah kerugian sedang disiasat. -Bernama