KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti 201,000 hektar tanah gambut yang dimajukan di lima negeri sebagai berisiko berlaku kebakaran hutan sekiranya pembakaran terbuka dilakukan semasa cuaca panas.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata negeri terbabit ialah Selangor, Johor, Sarawak, Pahang (Rompin, Pekan, Kuantan) dan Sabah (Sipitang, Beaufort).

“JBPM telah koordinasi dengan beberapa agensi yang terlibat sebagai langkah untuk tangani sekiranya berlakunya pembakaran hutan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar, (JAS) serta Jabatan Mineral dan Geosains.

“Kita turut berkomunikasi dengan pihak ladang yang dikawal selia oleh pejabat daerah untuk mengekalkan paras air mengikut sukatan yang ditetapkan, selain meminta anggota melakukan rondaan khususnya di kawasan tanah gambut,“ katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2023 dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun JBPM Kelantan di sini hari ini.

Nor Hisham berkata berdasarkan perangkaan jenis kebakaran di negara ini, pembakaran hutan merekodkan peningkatan pada tahun lepas dengan 1,291 kes berbanding 692 kes pada 2022.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 80 aduan pelbagai kesalahan termasuk jenayah diterima pihaknya melibatkan pegawai, anggota dan petugas lain sepanjang tahun lepas.

Beliau berkata daripada jumlah itu, kesalahan membabitkan salah laku merekodkan 52 kes, skandal atau seksual dan salah guna kuasa masing-masing tujuh kes, rasuah dan pentadbiran masing-masing empat kes, pengurusan (3), penyelewengan (2) dan aduan kes kewangan (1).

“Berdasarkan jumlah aduan yang diterima dan disiasat pula sebanyak 35 aduan berasas, 34 aduan tidak berasas, tujuh aduan diklasifikasikan tiada tindakan lanjut (NFA) dan empat aduan masih dalam tindakan.

“Selain itu, daripada 35 aduan yang berasas, tujuh kes disyorkan tindakan tatatertib, 19 kes diberikan Surat Peringatan atau Teguran, lapan kes disyorkan tindakan penambahbaikan dan satu kes dirujuk kepada agensi penguatkuasaan,“ katanya. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image