the sun malaysia ipaper logo 150x150
Friday, July 24, 2026
26.9 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Bunuh teman wanita, bekas pemandu lori dipenjara 35 tahun dan 12 sebatan

PUTRAJAYA: Seorang bekas pemandu lori dijatuhi hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Persekutuan di sini hari ini kerana membunuh teman wanitanya di sebuah rumah di Kampung Batu Besi, Simpang Pulai, Perak, tujuh tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah menjatuhkan hukuman itu terhadap N. Sanderasegaran, 35, selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengembalikan semula pertuduhan asal dihadapi lelaki berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

“Mahkamah mendapati terdapat merit dalam rayuan perayu (pendakwaan) dan bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa Mahkamah Rayuan telah terkhilaf apabila meminda pertuduhan daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan (menyebabkan kematian).

“Oleh itu, kami membenarkan rayuan pihak pendakwaan. Bagaimanapun, kami mempunyai budi bicara sama ada untuk menjatuhkan hukuman mati atau penjara (antara 30 dan 40 tahun),” kata Hakim Mohamad Zabidin yang turut memerintahkan responden (Sanderasegaran) menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 28 Feb 2016.

Turut bersidang pada prosiding hari ini ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Hakim Datuk Nordin Hassan.

Pada 2 Okt 2018, Sanderasegaran dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak kerana membunuh S. Durga Devi yang ketika kejadian berusia 17 tahun di sebuah rumah di Kampung Batu Besi, Ladang Sengat, Simpang Pulai antara 11 malam 27 Feb hingga 6 pagi 28 Feb 2016.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 15 Mac 2022, menggantikan hukuman mati mandatori itu dengan penjara 20 tahun atas kesalahan menyebabkan kematian wanita tersebut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johar memohon supaya hukuman penjara maksimum 40 tahun ke atas tertuduh dengan mengambil kira mangsa merupakan seorang wanita yang lemah dan laporan bedah siasat mendapati terdapat 129 kesan kecederaan pada tubuh badan mangsa.

“Berdasarkan keterangan pakar patologi jelas menyatakan punca kematian mangsa disebabkan kecederaan di bahagian kepala,” katanya.

Peguam Charan Singh yang mewakili Sanderasegaran memohon hukuman penjara antara 30 tahun atas alasan anak guamnya tidak mempunyai rekod lampau.

“Anak guam saya telah ditangkap pada 28 Feb 2016 dan dia berada di penjara sejak tarikh itu,” kata Charan yang turut dibantu peguam Noor Farihah Arshad. –Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Singapore’s Largest Pet Event Returns Bigger Than Ever with Singapore Pet Festival 2026

SINGAPORE - Media OutReach Newswire - 24 July 2026 - Pet lovers can look forward to the return of SG Pet Festival 2026, Singapore's largest pet exhibition, happening from 31 July to 2 August 2026 at Marina Bay Sands Convention Centre, Halls A, B, C & D.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings