KUALA LUMPUR: Polis menahan empat lagi individu termasuk dua wanita, yang disyaki ada kaitan dengan penahanan seorang lelaki Israel pada minggu lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain (gambar) berkata empat individu berusia 28 hingga 41 tahun itu, ditahan di sekitar Skudai dan Gelang Patah, Johor, semalam.

“Kita tahan empat lagi individu di Johor semalam dan percaya boleh membantu siasatan polis dalam kes ini.

“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti peranan mereka, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan tangkapan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi.

Setakat ini, seramai lapan individu ditahan termasuk suspek utama iaitu lelaki Israel berusia 36 tahun.

Selain itu, Razarudin berkata permohonan sambung reman terhadap pasangan suami isteri warga tempatan, yang disyaki membekalkan pistol kepada suspek utama akan dibuat selepas tempoh reman mereka tamat esok.

Razarudin sebelum ini dilaporkan berkata pasangan suami isteri berusia 42 dan 40 tahun, ditahan di bazar Ramadan di Kuala Selangor pada Jumaat lepas dan direman tujuh hari.

Selain itu, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun di Cameron Highlands, Pahang turut ditahan yang dipercayai menjadi pemandu kepada lelaki Israel terbabit.

Terdahulu, Razarudin dilaporkan berkata seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk pistol, ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang di sini.

Beliau berkata lelaki berusia 36 tahun itu dipercayai memasuki Malaysia pada 12 Mac menggunakan pasport Perancis dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), dan mendakwa datang ke negara ini untuk membunuh rakan senegaranya susulan masalah keluarga.

Razarudin berkata suspek direman hingga 7 April ini dengan siasatan dijalankan mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image