PUTRAJAYA: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menambah enam perkhidmatan tren elektrik (ETS) setiap hari ini sempena Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah bermula 7 Feb depan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata ia melibatkan empat perkhidmatan ETS tambahan sehari bagi laluan KL Sentral-Ipoh- KL Sentral pada 7 hingga 13 Feb, dan tambahan dua ETS sehari bagi laluan KL Sentral-Padang Besar-KL Sentral pada 7 Feb hingga 10 Mac.

Beliau berkata dua daripada empat perkhidmatan tambahan KL Sentral-Ipoh-KL Sentral itu adalah tren ekspres yang berhenti di tiga stesen sahaja iaitu KL Sentral, Kuala Lumpur dan Ipoh, dengan mengambil masa dua jam sehala berbanding perjalanan biasa dua jam 40 minit.

“Keseluruhan tiket tambahan yang ditawarkan sepanjang Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah adalah sebanyak 29,526 tiket. Untuk 32 perkhidmatan ETS sedia ada, jumlah tiket yang ditawarkan adalah sebanyak 10,180 sehari,” katanya penjualan tiket tambahan itu bermula 15 Jan ini.

Dalam sidang media selepas Majlis Amanat Tahun 2024 Kementerian Pengangkutan di sini hari ini, Loke berkata Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pula akan membuka permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) Perayaan bermula 15 Jan hingga 2 Feb bagi menampung permintaan bas yang tinggi.

“Ini akan membenarkan bas kategori lain seperti bas ekspres tambahan untuk menawarkan perkhidmatan membawa penumpang balik kampung sempena musim Tahun Baharu Cina sekiranya menepati syarat,“ katanya tempoh sah laku LPS itu adalah pada 7 hingga 18 Feb.

Loke berkata langkah berkenaan, pada tahun lepas telah berjaya menambah sejumlah 296 bas dan dijangka bilangan tersebut lebih tinggi pada tahun ini.

“APAD telah mengeluarkan surat peringatan kepada semua pengendali terminal bas untuk menambah kakitangan dan kaunter tiket bagi mengurus pertambahan penumpang. Penggunaan tiket bersama kod QR juga digalakkan agar tidak perlu ke kaunter,“ katanya.

Sementara itu, Loke berkata Batik Air Malaysia (Batik Air) bersetuju menawarkan penerbangan tambahan bagi laluan Kuala Lumpur ke Sibu pada 6 dan 7 Feb depan dengan tambang tetap RM399 bagi kelas ekonomi sempena Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata semua tiket penerbangan ekonomi dari Kuala Lumpur ke Sibu bagi tiga hari sebelum Tahun Baru Cina telah habis dijual dan tiket berbaki adalah kelas perniagaan.

“Susulan ini, saya telah meminta kerjasama Batik Air untuk menyokong usaha MOT supaya menambah kapasiti penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sibu,” katanya ia meliputi tiga penerbangan tambahan pada 6 Feb dan tiga lagi pada 7 Feb dengan penjualan tiket serta-merta. -Bernama