Your Title

PHNOM PENH: Penerjun negara, Enrique Maccartney Harold (gambar) memastikan dominasi Malaysia dalam menyapu bersih semua acara terjun selepas meraih emas acara 10 meter (m) plaftorm pada temasya Sukan SEA 2023 di sini hari ini.

Pencapaian itu sekali gus mengulangi kejayaan negara membawa pulang kesemua lapan pingat emas yang ditawarkan pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam.

Dalam acara berlangsung di Pusat Akuatik Morodok Techo, Enrique yang julung kali mewakili negara dalam temasya dwitahunan itu, berada di kelas tersendiri apabila mengumpul 442.95 mata selepas enam pusingan bagi menghadiahkan emas ke empat negara dalam sukan terjun.

Lebih manis, Malaysia turut merebut dua podium bagi acara itu selepas seorang lagi penerjun, Bertrand Rhodict Lises meraih pingat perak dengan 384.00 mata.

Gangsa milik penerjun Singapura, Shen Oon Max Lee yang mengutip 362.8 mata.

Sementara itu, Enrique, 20, mengakui menerima saingan sengit daripada Bertrand, namun nasib menyebelahi beliau untuk muncul sebagai juara.

“Masa terjun saya tak fikir apa-apa dan buat mana yang termampu kerana tahu Bertrand pun saingan kuat saya dan tahu terjunan beliau macam mana,” katanya kepada media Malaysia selepas upacara penyampaian pingat di sini hari ini.

Menurutnya ini kerana Bertrand telah melakukan terjunan pada tahap kesukaran yang lebih tinggi, tetapi beberapa terjunan yang lemah telah menafikan peluang rakan sepasukannya itu untuk meraih emas.

Dalam pada itu, atlet Sarawak tersebut berkata terjunan emas di Kemboja menjadi motivasi untuk beliau mencuba nasib melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

“Memang susah untuk ke Paris tetapi saya akan terus berjuang untuk ke sana. Saya juga berharap boleh menang pingat dalam Kejohanan Dunia di Tokyo pada Julai ini selain beraksi lebih baik dalam Sukan Asia akan datang di Hangzhou, China,” katanya.

Isnin lepas, Kimberly Bong membuka tirai kejayaan kem terjun negara selepas memenangi emas dalam 3m papan anjal individu wanita, manakala Muhammad Syafiq Puteh menyumbang emas kedua menerusi 3m papan anjal individu lelaki.

Semalam, penerjun berusia 15 tahun, Lee Yiat Qing melakukan kejutan apabila terjunannya menghasilkan emas ketiga untuk Malaysia dari kolam renang menerusi acara platform wanita, yang merupakan penampilan pertama beliau dalam temasya dwitahunan itu. -Bernama