TAIPING: Enam daripada 11 komoditi sayur utama merekodkan pengeluaran Kadar Sara Diri (SSR) melebihi 100 peratus di Perak, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Beliau berkata sayuran yang mencatatkan kadar SSR tertinggi adalah bendi iaitu sebanyak 454 peratus, diikuti kacang panjang (275 peratus), timun (267 peratus), bayam (177 peratus), terung (162 peratus) dan sawi (143 peratus).

“Bagi tanaman yang telah mencapai SSR ini, tumpuan akan diberikan bagi mencari pasaran baharu dan mempelbagaikan lagi pengeluaran produk industri asas tani yang mempunyai nilai tambah,“ katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Hari Ladang Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) dan Kempen Makan Sayur-Sayuran Peringkat Negeri Perak di pekarangan Pejabat Pertanian LMS di sini hari ini.

Mohd Zolkafly berkata bagi tanaman yang belum mencapai tahap sara diri seperti cili, halia dan kubis, kerajaan negeri telah merangka pelan pembangunan industri sayuran serta komited untuk menambah keluasan bertanam.

Beliau berkata jumlah pengeluaran sayuran di Perak adalah sebanyak 116,764 metrik tan melibatkan 6,702 hektar keluasan bertanam bagi tahun lepas.

Daripada jumlah tersebut katanya daerah Kinta merupakan pengeluar terbesar dengan pengeluaran sebanyak 69,372 metrik tan melibatkan 3,881 hektar keluasan bertanam.

Sementara itu, Mohd Zolkafly berkata program hari ini antaranya bertujuan menggalakkan rakyat menjadikan sayuran sebagai makanan wajib bagi semua peringkat umur, sekali gus membantu meningkatkan permintaan di pasaran.

“Dalam masa yang sama, ia diharapkan dapat membantu menstabilkan harga sayur-sayuran di peringkat ladang dan runcit seterusnya menyumbang kepada kemampanan pendapatan para petani,“ katanya. -Bernama