KUCHING: Perbelanjaan bagi pengambilan makanan Muslim global diunjurkan mencecah US$1.38 trilion pada 2024, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (gambar).

Beliau berkata golongan muda yang akan membentuk 60 peratus daripada dua bilion penduduk Islam dunia pada 2030 telah mempengaruhi lonjakan pengambilan itu.

“Mereka memacu revolusi dengan halal menjadi sinonim kepada kesihatan, kebersihan dan pengawasan beretika,” katanya ketika berucap di Forum Perniagaan Muslim Global 2023 di sini, pada Rabu.

Beliau berkata kerajaan mengenal pasti nilai intrinsik pensijilan halal untuk memastikan barangan pengguna seperti farmaseutikal, nutraseutikal, kosmetik dan makanan memenuhi standard halal tertinggi.

Fadillah berkata komitmen itu telah menggalakkan peserta utama dalam sektor barangan pengguna untuk melabur untuk barisan pengeluaran halal, sekali gus memastikan produk Malaysia dipercayai di persada global.

“Memandangkan generasi muda semakin mementingkan alam sekitar, kita melihat peningkatan permintaan terhadap produk berasaskan tumbuhan dan makanan sihat serta tawaran yang diperakui halal sedang berkembang pesat,” katanya. -Bernama