the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, July 23, 2026
27.5 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Fahmi: Pemberian kontrak kepada HeiTech Padu dilakukan secara tender terbuka

PUTRAJAYA: Pemberian kontrak MySikap Syarikat HeiTech Padu Bhd dilakukan secara tender terbuka dan tidak ada kaitan dengan situasi terkini pegangan saham syarikat itu, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil (gambar).

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata Lembaga Tender Kementerian Pengangkutan telah meluluskan kontrak tersebut kepada syarikat berkenaan pada 24 Nov 2023 sebelum diluluskan oleh Kementerian Kewangan pada 2 Feb lepas.

“Pembelian saham oleh Syarikat Rosetta Partners Sdn Bhd hanya berlaku pada 16 Mac, bermaksud keputusan untuk memberikan atau menganugerahkan tender kepada Syarikat HeiTech Padu telah diputuskan sejak tahun lalu,” katanya kepada media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan sesetengah pihak yang berkata tender tersebut diberikan kepada syarikat itu disebabkan pemegang saham terbesar HeiTech Padu adalah bekas Setiausaha Politik Anwar iaitu Datuk Farhash Wafa Salvador.

Farhash muncul sebagai pemegang saham besar baharu HieTech pada Mac lepas dengan kepentingan tidak langsung sebanyak 15.9 peratus.

Fahmi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke turut memberikan penjelasan yang mendalam berhubung perkara itu kepada Jemaah Menteri hari ini.

Beliau berkata Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa setakat ini, Syarikat HeiTech Padu tidak menerima apa-apa kelulusan baharu dalam mana-mana tender.

“Menteri Pengangkutan juga akan mengeluarkan kenyataan penuh mengenai tender tersebut hari ini… mana-mana pihak yang ingin memberi komen atau mengeluarkan kenyataan harus berpandukan kepada fakta,” katanya.

HeiTech Padu Bhd dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam memaklumkan syarikat itu sudah menerima surat lantikan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membabitkan tender bernilai RM190.01 juta.

Penyedia perkhidmatan teknologi itu berkata tender tersebut adalah bagi perkhidmatan penyelenggaraan serta sokongan teknikal untuk infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi selain sistem MySIKAP di semua pejabat JPJ.

Kontrak itu adalah bagi tempoh 36 bulan dari 1 Mei 2024 hingga 30 April 2027 dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih sesaham HeiTech Padu bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024 dan seterusnya sehingga ia selesai.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Lebanon and Israel set for next talks in Italy

Lebanon and Israel will hold their next US-brokered talks in Italy on August 4 as both sides begin implementing a plan for Israeli withdrawals and Lebanese army deployments.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings