KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil (gambar) mengajak semua pihak untuk bersama-sama menghayati titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 hari ini.

“Kestabilan adalah asas penting untuk membina semula negara. Daulat Tuanku,” kata jurucakap kerajaan itu menerusi hantaran di laman Facebook dengan disertakan perkongsian infografik titah Sultan Ibrahim yang tidak akan melayan cubaan menggugat kestabilan politik negara.

Terdahulu, Sultan Ibrahim menzahirkan peringatan, nasihat dan pandangan dalam pelbagai topik antaranya tingkah laku Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat semasa persidangan, keperluan merangka dasar kukuh perpaduan negara, isu karenah birokrasi, hutang negara serta kestabilan politik.

Dalam pada itu, bercakap kepada Bernama dan RTM di Pavilion Malaysia sempena Mobile World Congress (MWC) Barcelona 2024, Fahmi berkata titah Sultan Ibrahim bahawa Seri Paduka Baginda tidak akan melayan sebarang permintaan pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negara sudah tentu akan memberi kesan positif kepada negara.

“Bukan hanya dalam kalangan rakyat tetapi juga masyarakat antarabangsa bagi para pelabur dan juga aspek-aspek perniagaan.

“Saya percaya negara-negara luar akan melihat Malaysia, dengan kestabilan politik yang ada, sebagai satu destinasi pelaburan yang unggul,” katanya.

Beliau berkata titah Seri Paduka Baginda supaya semua Ahli Parlimen berdisiplin juga adalah satu peringatan penting bagi memastikan setiap sidang Dewan Rakyat boleh memfokus kepada isu denyut nadi rakyat.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata titah Sultan Ibrahim supaya isu membabitkan 3R (kaum, institusi diraja dan agama) tidak disentuh sangat penting demi keharmonian negara supaya rakyat dapat hidup rukun serta aman damai dan usaha membangunkan negara secara bersama dapat diberikan tumpuan.

Fahmi berada di Barcelona bagi mengetuai delegasi Malaysia ke MWC 2024, perhimpunan tahunan terbesar industri telekomunikasi anjuran badan antarabangsa Groupe Speciale Mobile Association (GSMA). -Bernama