KOTA KINABALU: Sebuah gudang penyimpanan kabel milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Jalan Menggatal Batu 7 dekat sini terbakar tengah hari tadi.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Selvister Yamud berkata tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian pada 12.56 tengah hari itu yang melibatkan gudang seluas 1.49 hektar.

Beliau berkata kebakaran itu memusnahkan 1.21 hektar kawasan gudang dan sebuah rumah kosong manakala stor penyimpanan transformer, minyak Hyraxoil, mesin feeder pillar dan sebuah bangunan berjaya diselamatkan.

“Operasi pemadaman melibatkan anggota dari Balai Bomba Kota Kinabalu, Lintas dan Penampang,“ katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 12.56 tengah hari dan anggota bomba tiba ke lokasi kejadian pada 1.02 petang dan kebakaran berjaya dikawal pukul 5.06 petang.

Sementara itu, SESB dalam kenyataan mengesahkan kejadian itu dan punca kejadian masih disiasat.

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image