JBPM tubuh jawatankuasa siasat punca insiden anggota PPDA lemas

KUALA NERUS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat punca insiden yang meragut nyawa anggotanya, Mohd Izwan Illias, 42, yang ditemukan lemas di Butterworth, Pulau Pinang, Jumaat lepas.

Ketua Pengarahnya Datuk Nor Hisham Mohamad berkata jawatankuasa itu diberikan tempoh dua minggu untuk berbuat demikian.

“Kita tubuhkan jawatankuasa sebab kita ada Manual Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang digunakan JBPM. Siasatan akan dibuat oleh pihak ibu pejabat untuk tengok macam mana situasi yang menjurus kepada insiden,“ katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Mohd Izwan yang merupakan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth ketika kejadian sedang melakukan kerja menyelenggara bot di Jeti Pangkalan Marin JBPM Mak Mandin, Butterworth, Khamis lepas.

Nor Hisham berkata siasatan itu akan mengambil kira semua aspek termasuk penggunaan instrumen keselamatan seperti jaket keselamatan, keupayaan menyelamatkan diri di peringkat awal dan prosedur kerja JBPM ketika melakukan sesuatu tugasan.

“...insiden baru ini berlaku ketika mangsa nak parkir bot selepas siap baiki bot berkenaan, jadi, siasatan itu akan lihat sama ada prosedur kami merangkumi elemen proses kerja yang singkat ini atau tidak dan kita akan tengok semula di peringkat jabatan, dan menambah hasil siasatan akan digunakan untuk memperbanambah baik prosedur tersebut,“ katanya.

Dalam pada itu beliau berkata sebanyak 325 kes lemas di air dicatatkan di seluruh negara tahun lepas dengan Terengganu sahaja merekodkan 23 kes yang membabitkan 29 kematian.

“Kalau ikut rekod, Terengganu tidak menunjukkan trend penurunan yang ketara sebab negeri ini ada semua risiko seperti sungai, kawasan pelancongan dan laut dengan jajaran pantainya yang sangat panjang.

“Ini cabaran utama kepada kita selaku Urusetia Induk Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) untuk ambil langkah yang perlu khususnya pendidikan awal kepada masyarakat seperti kepentingan memiliki keupayaan asas berenang,“ katanya.

Beliau berkata isu praktikal dan kekangan dari sudut kewangan adalah antara yang diambil kira pihaknya dalam mempertimbangkan cadangan menempatkan PPDA di sepanjang pantai dan kawasan rekreasi yang berisiko berlaku fenomena kepala air, memandangkan geografinya yang luas.

“Sebab itu kita akan buat sesi keterlibatan dengan komuniti untuk mainkan peranan masing-masing dan segera maklumkan kepada kita sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan untuk tujuan intervensi.

“Dan untuk papan tanda amaran di kawasan hutan simpan memang kita sudah pasang hasil kerjasama dengan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia,“ katanya. -Bernama

Ketua Pengarahnya Datuk Nor Hisham Mohamad (tengah)/BERNAMAPix

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image